Kurang sebulan Apple mengumumkan prestasi kewangan mereka, nampaknya pasaran modal Apple terus menjunam di bawah paras $900 billion.
Setakat jam 2.16 PM (3.16AM waktu Malaysia), pasaran modal Apple telah dinilai sekitar $889.146 billion berbanding $1 Trilion yang direkodkan sebelum ini.
Penurunan ini hakikatnya memberi impak besar terhadap operasi Apple yang mana pelabur mula mengambil langkah berjaga-jaga terhadap masa depan Apple.
Walaupun penjualan iPhone masih kukuh di pasaran global, saingan sengit antara telefon pintar keluaran China telah memberi sedikit tempias terhadap prestasi jualan Apple secara keseluruhan.
Di Malaysia juga jika dilihat secara kasar, kuasa beli rakyat Malaysia terhadap iPhone Xs dan iPhone Xs Max rendah berbanding tahun sebelumnya berdasarkan maklum balas beberapa wakil penjual Apple di Lembah Klang dan Pantai Timur.
Ini berkemungkinan disebabkan tanda harga bagi kedua-dua iPhone ini terlalu mahal menyebabkan pengguna mengambil alternatif lain dengan membeli jenama telefon pintar keluaran Xiaomi, OnePlus, Samsung dan Huawei.
Secara peribadi saya menjangkakan trend harga bagi iPhone akan terus meningkat disebabkan Samsung Galaxy F dijangka dijual pada tanda harga $1,770.00 berbanding iPhone Xs yang bermula sekitar $999.00.
Di Malaysia nilai ringgit juga dilihat semakin lemah yang memberi sedikit isyarat kurang baik terhadap harga jualan bagi produk Apple. Semalam ringgit diniagakan pada kadar $1.00 / RM4.20.
Sebelum ini Apple pernah menaikkan harga bagi produk di Malaysia sebanyak dua kali dalam tempoh setahun. Jika ringgit terus menyusut kebarangkalian peningkatan harga bagi produk Apple adalah tinggi.
Berbalik kepada pasaran modal Apple yang telah merosot ke paras bawah $900 billion. Saya menjangkakan Apple bakal meneliti kembali roadmap mereka bagi memastikan trend penurunan ini tidak akan terus berlaku.
Tahun 2019 saya jangkakan tahun bagi iOS. Pada WWDC 2019 kelak Apple akan membuat perubahan major pada iOS 13 sama seperti iOS 7 sebelum ini.
Bagi iPhone X1 dan iPhone X1 Max saya juga meramalkan akan ada sedikit perubahan dari segi rekaan memandangkan Jony Ive telah dipertanggungjawabkan kembali dalam menerajui rekaan bagi produk Apple.
Ini merupakan pandangan saya 100%, semua terpulang kepada anda untuk membuat ramalan bagi tahun 2019. Apa pun, kesan perang dagang antara US dan China sedikit sebanyak akan memberi kesan kepada Apple bagi tahun 2019.
SEKADAR PANDANGAN