Umum mengetahui bahawa Apple bakal melepaskan iOS 13 pada 20 September 2019 sekitar jam 1.00 pagi. Oleh yang demikian, pengguna iPhone dan iPod harus mengetahui sedikit sebanyak tatacara serta panduan mengemaskini iOS terbaharu ini.
Berikut merupakan model iPhone dan iPod yang menyokong iOS 13 :
- iPhone 11
- iPhone 11 Pro
- iPhone 11 Pro Max
- iPhone XS
- iPhone XS Max
- iPhone XR
- iPhone X
- iPhone 8
- iPhone 8 Plus
- iPhone 7
- iPhone 7 Plus
- iPhone 6s
- iPhone 6s Plus
- iPhone SE
- iPod Touch Generasi ke-7
iOS 13 boleh dikatakan sistem operasi yang memfokuskan kepada prestasi pada iPhone terdahulu. Tidak hairanlah iOS 13 mampu meningkatkan bukaan aplikasi sebanyak dua kali ganda serta peningkatan 30% bagi fungsi Face ID.
Walaupun ramai menantikan fungsi mod gelap, hakikatnya iOS terbaharu ini sememangnya memberi kelebihan kepada pengguna iPhone XS/Max ke bawah lebih-lebih lagi iPhone SE dan iPhone 6S/Plus.
Di sebalik keseronokan menunggu pelepasan iOS 13, pengguna iPhone dan iPod harus cakna tentang perihal kemaskini iOS.
Antara perkara paling penting adalah dengan memastikan iPhone anda bebas dari :
- Locked Set (RSIM/TurboSIM)
- Refurbished yang tidak disahkan oleh Apple
- iPhone yang menggunakan komponen tiruan
- iPhone yang mempunyai masalah perkakasan
Saya mengakui bahawa terdapat sesetengah pengguna tidak mengetahui status iPhone mereka. Namun sekiranya anda membeli iPhone di Pusat Jualan Apple yang sah seperti Machine Malaysia, Switch Malaysia, Mac City, Sen Heng dan lain-lain maka anda tidak perlu gusar.
Tapi sekiranya anda membelinya di laman jualan seperti Instagram, Facebook, Twitter, Lazada, Shoppee orang perseorangan atau kedai yang tidak disahkan oleh Apple. Maka kebarangkalian anda mendapat iPhone yang menggunakan komponen tiruan adalah tinggi.
Sebelum ini terdapat beberapa kes yang mana pengguna iPhone mengalami masalah selepas mengemaskini iOS. Ini termasuklah masalah pada skrin sentuh dan lain-lain.
iOS 13 merupakan kemaskini major, maka komponen iPhone berstatus tiruan mungkin akan terkesan setelah ia dikemaskinikan.
Oleh itu saya amat menggalakkan supaya pengguna yang saya nyatakan di atas agar menangguh seketika dan menunggu maklum balas dari pengguna yang lain
Bagi iPhone berstatus Locked Set, saya menasihatkan anda supaya mendapatkan khidmat nasihat dari kedai yang anda beli bagi mengelakkan masalah semasa pengaktifan iPhone selepas mengemaskini iOS.
Selain dari itu juga, terdapat pertanyaan dari pengguna iPhone dan iPod tentang cara mengemaskini iOS. Secara dasarnya terdapat tiga kaedah yang boleh dilakukan antaranya :
- Over The Air (OTA) / Wi-Fi
- iTunes (Komputer)
- IPSW (Komputer)
Namun ada di kalangan dari kita berpendapat bahawa kemaskini menggunakan OTA adalah salah dan memudaratkan iPhone atau iPod.
Setakat ini tiada lagi kenyataan rasmi dari Apple berhubung masalah mengemaskini menggunakan OTA. Walau bagaimanapun, terdapat aduan dari segelintir pengguna bahawa iPhone mereka mengalami masalah setelah menggunakan kaedah OTA.
Secara peribadi, saya tidak boleh katakan bahawa kemaskini menggunakan OTA adalah mudarat memandangkan tiada kenyataan rasmi dari Apple. Cuma saya menggalakkan anda mengemaskini menggunakan iTunes yakni melalui komputer.
Sebelum anda mengemaskini iOS 13, sila pastikan semua maklumat dalam iPhone telah dibuat sandaran (Back-up) tidak kira melalui iTunes atau iCloud.
Namun saya amat tidak menggalakkan anda membuat sebarang sandaran selain komputer peribadi anda.
Anda juga perlu mengetahui bahawa iOS 13 mempunyai fungsi untuk mengesan sebarang penggunaan bateri tiruan.
Maka sekiranya terdapat notifikasi yang menunjukkan bahawa anda menggunakan bateri tiruan, sila abaikan notifikasi tersebut kerana anda sendiri yang berkehendakan sedemikian.
Selain itu, terdapat laporan bahawa iOS 13 mempunyai sedikit isu yang akan mengakibatkan masalah dari segi pengoperasian pada iPhone. Oleh itu jika iPhone anda terkesan dengan masalah tersebut, sila tunggu kemaskini iOS 13.1 yang akan dilepaskan sekitar 1 Oktober 2019 jam 1 pagi.
Semasa pengemaskinian iOS 13, anda juga mungkin mendapati kapasiti maksimum bateri akan berubah sama ada meningkat atau menurun. Oleh itu saya memohon anda mengabaikan indikator tersebut selagi ia tidak mencapai bawah 79%.
Sebelum Kemaskini
Anda juga harus memahami bahawa sebaik kemaskini iOS 13, bateri iPhone mungkin akan mengalami penurunan. Oleh itu jangan terus menjatuh hukum, sila tunggu dalam tempoh 3-4 hari sebelum anda menoktahkannya.
Kemaskini iOS 13 melalui iTunes atau OTA memerlukan rangkaian Internet yang stabil, oleh itu pastikan Internet anda tidak mempunyai masalah sebelum dan selepas kemaskini.
Konklusinya iOS 13 memfokuskan kepada prestasi iPhone terdahulu. Saya akui bahawa anda ingin menjadi orang pertama mengemaskini iOS terbaharu, namun semak dahulu kondisi dan salasilah iPhone sebelum anda melaksanakannya. Sekiranya anda tidak cakna soal yang dinyatakan di atas, sesungguhnya anda tergolong dari golongan yang rugi.