Selama ini, segmen Perkhidmatan (Services) antara penyumbang keuntungan terbesar Apple. Namun, keadaan itu mungkin mula berubah apabila Apple tersebut mengakui perubahan polisi App Store di beberapa negara sudah mula memberi kesan kepada pertumbuhan pendapatannya.
Perkara itu didedahkan ketika Apple mengumumkan keputusan kewangan suku ketiga tahun fiskal 2026. Menurut Ketua Pegawai Kewangan Apple, Kevan Parekh, pertumbuhan App Store menjadi lebih perlahan disebabkan dua faktor utama. Pertama ialah penurunan perbelanjaan pengguna dalam permainan mudah alih, manakala yang kedua perubahan peraturan App Store yang terpaksa dilaksanakan di beberapa pasaran.

Beberapa tahun kebelakangan ini, Apple semakin menerima tekanan daripada pengawal selia di seluruh dunia. Akibatnya, syarikat itu perlu membuka lebih banyak ruang kepada pembangun aplikasi, termasuk membenarkan kaedah pembayaran alternatif di luar sistem pembayaran App Store. Perubahan ini secara langsung mengurangkan sebahagian pendapatan komisen yang sebelum ini menjadi kekuatan utama App Store.
Walaupun begitu, Apple tidak melihat keadaan ini sebagai sesuatu yang membimbangkan. Segmen Perkhidmatan masih mencatatkan pendapatan AS$30.7 bilion, meningkat 12 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu. Namun, kadar pertumbuhan itu tidak lagi sepantas yang dijangkakan oleh penganalisis.
Pada masa sama, Apple turut menjelaskan kelembapan industri permainan mudah alih juga memainkan peranan besar. Ini kerana sebahagian besar transaksi di App Store masih datang daripada pembelian dalam aplikasi dan permainan, sekali gus memberi kesan apabila pengguna mula berbelanja dengan lebih berhati-hati.
Ironinya, walaupun App Store menunjukkan sedikit kelembapan, prestasi keseluruhan Apple masih berada pada tahap yang sangat kukuh. Pendapatan syarikat terus mencatat rekod baharu bagi suku Jun, disokong oleh jualan iPhone dan Mac yang lebih tinggi daripada jangkaan.

Apa yang berlaku ini memberi gambaran bahawa zaman App Store menjadi sumber pendapatan yang “kebal” mungkin semakin berakhir. Selama lebih sedekad, Apple menikmati model perniagaan yang membolehkan syarikat memperoleh komisen daripada hampir setiap transaksi digital dalam ekosistemnya.
Kini, landskap itu semakin berubah. Tekanan daripada kerajaan dan badan kawal selia memaksa Apple membuka ekosistemnya sedikit demi sedikit. Kesan terhadap pendapatan mungkin belum begitu besar hari ini, tetapi ia menjadi petunjuk bahawa model perniagaan App Store sedang memasuki fasa baharu.
Persoalan yang lebih menarik ialah bagaimana Apple akan mengekalkan pertumbuhan segmen Perkhidmatannya pada masa depan. Dengan Apple Intelligence, iCloud+, Apple Music dan pelbagai langganan lain yang semakin berkembang, tidak mustahil syarikat itu akan mula memberi tumpuan yang lebih besar kepada perkhidmatan berasaskan langganan bagi mengimbangi pendapatan App Store yang semakin tertekan.

