SIPNOSIS
Mickey 17 sebuah filem komedi sains fiksyen yang menawarkan jalan cerita menarik, walaupun masih memerlukan penambahbaikan untuk mencapai tahap super-kualiti yang diinginkan.

‘Mickey 17’ mengisahkan perjalanan hidup seorang pemuda bernama Mickey Barnes yang dilakonkan oleh Robert Pattinson, yang berusaha menjalankan perniagaan bersama rakannya namun terpaksa berdepan dengan cabaran berhutang.
Namun, nasib tidak berpihak kepada mereka, menyebabkan perniagaan itu terpaksa ditutup. Mickey dan rakannya kemudian berdepan dengan ancaman bunuh oleh Pengutip Hutang, yang memaksa mereka membuat keputusan drastik.

Tanpa ada pilihan lain, mereka mengambil keputusan bekerja di sebuah kapal angkasa yang sedang dalam perjalanan ke planet ais bernama Niflheim.
Situasi ini membawa mereka ke dalam satu lagi babak kehidupan yang penuh dengan cabaran dan pengembaraan yang tidak terduga.Mickey yang dibelenggu ketakutan telah bersetuju bekerja sebagai “Expandable”.

Mickey perlu menjalankan misi-misi berbahaya hingga menyebabkan kematian. Setiap kali Mickey meninggal dunia, dia akan ‘dicetak’ semula dengan memori yang dipulihkan sehingga saat sebelum kematiannya.

Keunikan ini menjadikan Mickey sangat terkenal di dalam kapal angkasa kerana keberaniannya yang luar biasa untuk berdepan dengan kematian berulang kali.
Setiap kali Mickey mati, jasadnya akan dihapuskan bagi mengelakkan berlakunya gandaan dua, terutamanya jika Mickey yang sepatutnya mati masih hidup.

Proses ini memastikan hanya satu versi Mickey wujud pada satu masa, mengekalkan keseimbangan dan mengelakkan kekeliruan dalam kapal angkasa.
Langkah ini bukan sahaja menambah elemen ketegangan dalam cerita, tetapi juga mencerminkan keprihatinan terhadap etika serta implikasi teknologi kloning dalam dunia sains fiksyen yang dipaparkan.

Setiap kali Mickey mati, namanya akan berubah mengikut bilangan kematiannya, seperti Mickey 2, Mickey 3, dan seterusnya. Ketika ekspedisi di planet Niflheim, Mickey 17 menghadapi detik-detik getir setelah berdepan dengan makhluk ganas yang digelar “Perayap”.
Rakannya, yang menganggap Mickey 17 telah mati, memaklumkan kepada saintis di kapal angkasa untuk mencetak versi seterusnya, iaitu Mickey 18. Namun, mereka tidak menyedari bahawa Mickey 17 sebenarnya masih hidup.

Mickey 17 berjaya kembali ke kapal angkasa, namun dia berdepan dengan kejutan besar saat bertemu dengan Mickey 18, versi terbaru dirinya yang telah dicetak.
Pertemuan ini mencetuskan satu penceritaan yang kompleks dan penuh dengan ketegangan, mendedahkan sisi gelap serta konflik dalaman yang wujud di dalam kapal tersebut.

Kehadiran dua versi Mickey pada masa yang sama bukan sahaja menimbulkan persoalan tentang identiti dan kewujudan, tetapi juga mendedahkan dinamik hubungan yang rumit antara ahli kapal serta rahsia-rahsia yang selama ini tersembunyi.



ULASAN
Filem ini berjaya menggabungkan elemen komedi, drama, dan sains fiksyen untuk mencipta naratif yang mendalam dan memikat penonton.Secara peribadi, filem ini mungkin tidak tergolong dalam kategori hebat, tetapi ia cukup untuk menghiburkan hati penonton.

Lakonan Robert Pattinson benar-benar menonjol, berjaya membawa watak Mickey 17 dan Mickey 18 dengan penuh keunikan dan emosi yang mendalam.
Namun, watak Mark Ruffalo sebagai Kenneth Marshall agak mengecewakan dan tidak mencapai potensi sepenuhnya seperti yang diharapkan dalam filem ini. Dari segi Imej Janaan Komputer (CGI), saya rasa ia agak baik, terutamanya dalam menggambarkan makhluk Perayap yang mendiami planet Niflheim.

Fizikal Perayap berbeza dan segar berbanding filem-filem lain yang sering memaparkan konsep makhluk asing yang klise. Filem ini berdurasi 2 jam 17 minit, dan bagi saya, ia agak panjang.
Beberapa babak sebenarnya boleh dipotong untuk menjadikan penceritaan lebih padat dan fokus. Secara keseluruhan, filem ini mempunyai misi dan visi yang ringkas, tetapi kehebatan lakonan Robert Pattinson berjaya mewarnai keseluruhan penceritaan, menjadikannya lebih menarik dan berkesan, serta mencapai apa yang dizahirkan dalam filem ini.

Mickey 17 diarah oleh Bong Joon-ho yang berjaya memberi sedikit kelainan kepada penceritaan. Pengarah cuba untuk mempelbagaikan seni penceritaan dan tidak fokus kepada penceritaan yang mendatar.
KESIMPULAN
Tuntasnya, Mickey 17 menjanjikan pengalaman menonton yang menyeronokkan terutama kepada penggemar sains fiksyen.
Walau bagaimanapun, klasifikasi filem ini untuk tontonan 18 tahun ke atas. Saya kurang galakkan anda untuk membawa anak atau sesiapa di bawah umur kerana terdapat beberapa babak serta dialog lucah dan kurang sesuai.
Filem ini juga menjelaskan akan bahaya jika kloning berjaya dicipta yang boleh membawa kepada malapetaka.
Kami di bawa ke pawagam Aurum Theatre, The Exchange TRX dengan tontonan format IMAX Laser dan salah satu IMAX terbesar di Malaysia.
Dengan pengalaman menonton serta bunyi yang mengagumkan ditambah pula kerusi yang amat selesa menjanjikan satu keistimewaan menonton di panggung super-mewah ini.
Jangan lepaskan peluang untuk menonton filem Mickey 17 di pawagam GSC serta Aurum Theatre The Exchange TRX bermula hari ini.
Skala: 7.5/10