Kuala Lumpur, 7 November 2025 – Nothing telah memperkenalkan Phone (3a) Lite, telefon pintar terbaharu yang direka untuk memperluas pengalaman unik Nothing kepada lebih ramai pengguna.

Model ini menampilkan reka bentuk tersendiri, spesifikasi berkuasa serta pengalaman perisian yang lancar pada harga berpatutan membuktikan bahawa inovasi dan keperibadian tidak semestinya datang dengan tanda harga premium.
Phone (3a) Lite menampilkan gaya reka bentuk telus yang menjadi identiti Nothing, kini diolah semula dengan penampilan yang lebih ringkas namun tetap menyerlah.

Badan kaca yang digunakan menyerlahkan keseimbangan antara keanggunan klasik dan ketahanan untuk kegunaan harian, terasa seperti hasil kerja tangan, bukan sekadar produk kilang.
Ditawarkan dalam dua warna klasik Putih dan Hitam, kemasan premium dengan tekstur visual yang terperinci menjadikannya tampil lebih elegan berbanding telefon dalam kelas harganya.

Untuk ketahanan harian, telefon ini dilengkapi dengan penarafan IP54 bagi perlindungan terhadap habuk dan percikan air. Bingkai bateri aluminium dalaman turut memperkukuh struktur utamanya, memastikan jangka hayat yang lebih panjang dan tahan lasak.
Sistem tiga kamera pada Phone (3a) Lite diterajui oleh sensor utama 50 MP, yang menghasilkan foto seimbang, terang dan semula jadi. Ia dikuasakan oleh TrueLens Engine 4.0, teknologi yang turut digunakan pada model utama Nothing Phone (3), bagi menghasilkan gambar yang lebih jelas dengan bantuan penyuntingan AI.
Sensor Samsung 1/1.57 inci yang besar mampu menangkap 64% lebih banyak cahaya berbanding sensor biasa dalam kelasnya, memberikan prestasi cemerlang walaupun dalam keadaan pencahayaan rendah. Antara ciri menarik lain termasuk Ultra XDR, Mod Potret, Auto Tone, Mod Malam, Mod Makro dan Tangkap Gerakan (Motion Capture).

Kamera hadapan 16 MP pula menawarkan swafoto dan panggilan video yang tajam, manakala kamera belakang menyokong rakaman video 4K pada 30FPS serta gerak perlahan 1080p pada 120FPS.
Reka bentuk unik Nothing turut dikekalkan melalui Glyph Light, evolusi daripada antara muka Glyph ikonik. Terinspirasi daripada lampu pemberitahuan klasik, Glyph Light membolehkan fungsi seperti Flip to Glyph untuk pemberitahuan senyap, Essential Notifications bagi kenalan penting, dan Kiraan Mundur Kamera untuk rakaman berkumpulan.
Corak cahaya boleh disesuaikan mengikut panggilan atau kenalan tertentu, disertai dengan nada dering khas Nothing yang menjadikannya mudah dikenali.Dari segi perisian, Phone (3a) Lite dikuasakan oleh Android 15 melalui sistem operasi Nothing OS 3.5 yang menekankan pengalaman pengguna bersih, lancar dan boleh disesuaikan.

Ia dilengkapi dengan ciri seperti Smart Drawer untuk pengurusan aplikasi automatik, Private Space bagi fail peribadi, serta App Locker untuk keselamatan tambahan. Nothing juga komited memberikan tiga tahun kemas kini utama Android dan enam tahun tampalan keselamatan, dengan kemas kini Nothing OS 4.0 dijadualkan tiba pada awal tahun 2026.
Tambahan pula, fungsi seperti Essential Key dan Essential Space menggunakan kecerdasan buatan (AI) untuk membantu mencatat idea serta menyusun kandungan media, manakala Essential Search membolehkan carian pantas tanpa sambungan internet.
Dari aspek paparan, Phone (3a) Lite menampilkan skrin AMOLED fleksibel 6.77 inci dengan resolusi FHD+ (1080 x 2392) dan kadar segar semula adaptif 120 Hz. Ia menawarkan kecerahan puncak 3000 nits (HDR) dan 1300 nits untuk penggunaan luar, dengan warna yang hidup serta hitam yang mendalam.
Paparan 10-bit color depth memaparkan sehingga 1.07 bilion warna, manakala 2160 Hz PWM dimming membantu mengurangkan keletihan mata untuk pengalaman tontonan yang lebih selesa.
Dikuasakan oleh cip MediaTek Dimensity 7300 Pro yang dibina menggunakan proses TSMC 4 nm, telefon ini menawarkan prestasi pantas dan efisien tenaga. Pemproses lapan terasnya mampu mencapai kelajuan sehingga 2.5 GHz, disokong oleh sistem penyejukan cecair untuk memastikan kestabilan prestasi semasa permainan dan tugasan berat.
Dengan 8 GB RAM fizikal serta tambahan 8 GB RAM maya, telefon ini menyokong multitugas dengan lancar. Storan boleh dikembangkan sehingga 2 TB melalui kad mikroSD, manakala sambungan Dual 5G, WiFi 6 dan Bluetooth 5.3 memastikan pengalaman tanpa gangguan.

Bateri berkapasiti 5000 mAh yang digabungkan dengan cipset berkecekapan tinggi dan pengoptimuman Nothing OS 3.5 membolehkan telefon ini bertahan sehingga dua hari dengan penggunaan bercampur.
Ia turut menyokong pantas 33 W, yang membolehkan bateri dicas 50% dalam kira-kira 20 minit, serta pengecasan berbalik berwayar 5 W untuk mengisi tenaga aksesori lain seperti fon telinga.
Nothing Phone (3a) Lite akan ditawarkan dalam warna Hitam dan Putih pada harga RM1,199 (8GB RAM + 256GB storan). Pra-tempahan dibuka mulai 22 November 2025 di nothing.tech dan rakan penjual terpilih, disertakan hadiah percuma serta waranti lanjutan untuk tempahan awal. Jualan rasmi bermula pada 29 November 2025.
