in

Apple The Exchange TRX: Simbol Seni Bina Moden Yang Menyatukan Teknologi dan Alam Semula Jadi

Apple The Exchange TRX bukan sekadar Apple Store pertama di Malaysia, malah menjadi antara Apple Store paling ikonik pernah dibina di Asia Tenggara. Terletak di tengah-tengah Tun Razak Exchange (TRX), reka bentuknya mencerminkan falsafah Apple yang menggabungkan teknologi, seni bina dan pengalaman pengguna dalam satu ruang yang unik.

Perkara pertama yang mencuri perhatian ialah bumbung berbentuk kubah tiga dimensi yang memancarkan cahaya lembut pada waktu malam, seolah-olah pawaka yang menyinari ruang sekitarnya, sekali gus menjadikannya mercu tanda utama di kawasan TRX. Apabila syamsi di atas jumantara memancarkan cahayanya pada waktu siang, bumbung berukuran 26.5 meter × 26.5 meter itu menampilkan gabungan bentuk segi empat dan bulatan yang beralih secara lancar dari bahagian bawah hingga ke puncak.

Memandangkan Malaysia beriklim tropika, Apple turut mengambil kira faktor cuaca dalam reka bentuknya. Sirip-sirip pada bumbung disusun pada sudut tertentu bagi mengurangkan pancaran haba matahari, manakala bahagian paling bawah bumbung memanjang ke luar untuk melindungi dinding kaca serta mewujudkan laluan pejalan kaki yang lebih teduh dan selesa. Kendatipun reka bentuknya kelihatan ringkas, setiap elemen dibangunkan dengan pertimbangan kejuruteraan yang teliti.

Lagi artikel di ifon.my  Switch Dipilih Sebagai Penjual Apple Berdaftar Terbaik di Malaysia

Di bahagian tengah bumbung pula terdapat bukaan kaca yang membenarkan cahaya semula jadi memasuki ruang dalaman, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada pencahayaan buatan pada waktu siang. Cahaya yang menembusi ruang ini mewujudkan suasana yang tenang, seakan-akan menghubungkan ruang dalaman dengan bumantara yang terbentang luas.

Apple The Exchange TRX dibina setinggi tiga aras. Aras paling atas bersambung terus dengan taman atas bumbung TRX yang dipenuhi landskap hijau, sekali gus mewujudkan suasana yang lebih terbuka dan menyenangkan. Dari dalam kedai, pengunjung dapat menikmati pencahayaan semula jadi serta pemandangan kehijauan yang jarang ditemui di kebanyakan Apple Store.

Antara elemen yang menjadi tarikan ialah tangga arca yang diperbuat daripada kuarza dan kaca, selain lif kaca khas yang menghubungkan setiap aras. Susun atur ini membolehkan pengunjung melihat keseluruhan ruang dalaman dari pelbagai sudut, manakala ruang kelemayar yang luas menjadikan pengalaman meneroka setiap aras terasa lebih lapang, moden dan mengundang.

Lagi artikel di ifon.my  Switch Dipilih Sebagai Penjual Apple Berdaftar Terbaik di Malaysia

Seperti Apple Store lain di seluruh dunia, Apple The Exchange TRX turut dilengkapi dengan ruang Forum untuk sesi Today at Apple, dinding paparan video bersaiz besar, bilik mesyuarat serta kaunter Apple Pickup bagi memudahkan pelanggan mengambil produk yang ditempah secara dalam talian.

Bagi melengkapkan identiti premium Apple, ruang dalaman menggunakan bahan binaan berkualiti tinggi seperti dinding batu semula jadi, tiang keluli tahan karat berkilat, lantai terrazzo berwarna cerah dan siling kayu yang memberikan suasana moden serta elegan.

Kehadiran Apple The Exchange TRX bukan sekadar menandakan pembukaan Apple Store rasmi pertama di Malaysia, malah membuktikan negara ini kini berada dalam kelompok pasaran strategik Apple. Dengan seni bina yang mengutamakan iklim tempatan, alam semula jadi dan pengalaman pengguna, Apple The Exchange TRX berjaya meletakkan penanda aras baharu bagi reka bentuk ruang runcit premium di Malaysia.

Written by xaviernaxa

Seorang rakyat Malaysia yang memfokuskan kepada penulisan dalam bahasa Melayu, seorang pengkritik Apple dan pencinta Inovasi

Apple Dikatakan Rancang Pembaharuan Besar Barisan Peranti Pada 2027

HUAWEI MatePad Pro Max Kini Rasmi Di Malaysia, Tablet Flagship Ultra Nipis Dengan Kuasa AI Bermula RM5,999