The End of Oak Street merupakan sebuah filem sains fiksyen pengembaraan yang tampil dengan idea cukup menarik menerusi kemunculan binatang prasejarah sebagai elemen utama.
Filem ini membawa penonton ke dalam sebuah pengembaraan yang menggabungkan unsur keluarga, misteri dan makhluk purba, sekali gus menjadikannya sebuah tontonan yang mempunyai daya tarikan tersendiri, khususnya buat peminat dinosaur.

Berlatarbelakangkan tahun 1982, The End of Oak Street mengisahkan sebuah keluarga yang berdepan dengan kejadian luar biasa sehingga membawa mereka kepada dunia yang dihuni oleh binatang prasejarah.
Pengembaraan yang berlaku kemudian bukan sahaja mempertemukan mereka dengan makhluk purba yang selama ini hanya dikenali melalui sejarah dan fosil, malah menguji keberanian serta hubungan antara watak-watak utama. Dalam perjalanan tersebut, dinosaur menjadi antara tarikan terbesar yang menggerakkan penceritaan filem ini.

Menariknya, filem ini hadir dengan binatang prasejarah yang pasti mempunyai peminat setia di Malaysia. Kualiti CGI bagi dinosaur juga menjadi antara kekuatan utama kerana sebahagian besar daripadanya kelihatan seolah-olah benar-benar hidup di hadapan mata.
Pergerakan, rupa dan kehadiran makhluk-makhluk ini berjaya memberikan rasa keterujaan, malah membuatkan saya ingin mengetahui dengan lebih lanjut tentang haiwan prasejarah yang ditampilkan.

Latar tahun 1982 turut diberikan perhatian yang baik. Gambaran kehidupan dan persekitaran sekitar dekad tersebut jelas kelihatan, sekali gus membantu membina suasana filem. Secara peribadi, saya menyukai beberapa haiwan purba yang dipaparkan, khususnya Tyrannosaurus rex dan seekor haiwan yang menyerupai ular.

Kehadiran makhluk-makhluk ini memberikan warna kepada pengembaraan dan menjadi sebab utama filem ini terus menarik untuk diikuti.
Kekuatan The End of Oak Street sememangnya terletak pada dinosaur serta bagaimana pengarah mengolah penceritaan untuk membawa makhluk prasejarah tersebut ke dalam dunia manusia.

Setiap kemunculan haiwan purba mempunyai daya tarikan tersendiri dan menjadi antara babak yang paling mudah meninggalkan kesan kepada penonton.
Namun, setiap filem tidak lari daripada kelemahan. Secara peribadi, saya melihat watak Maisy Stella sebagai Audrey Platt, Christian Convery sebagai Brian Platt dan Jordan Alexa Davis sebagai Jeannette Christiansen kurang menyerlah berbanding elemen lain dalam filem ini.

Kendatipun begitu, lakonan Anne Hathaway sebagai Denise Platt dan Ewan McGregor sebagai Greg Platt banyak membantu menghidupkan penceritaan, khususnya ketika filem mula memberikan tumpuan kepada hubungan dan konflik dalam keluarga.
Untuk memastikan anda benar-benar terhibur ketika menonton filem ini, sila letakkan logik akal di luar pintu pawagam. The End of Oak Street bukanlah filem yang wajar ditonton dengan terlalu banyak persoalan tentang kebarangkalian atau realiti.

Sebaliknya, nikmati sahaja pengembaraan, dinosaur dan imaginasi yang cuba diketengahkan. Apabila perkara tersebut diterima, filem ini menjadi sebuah tontonan yang lebih menyeronokkan.
Dengan durasi satu jam 39 minit, saya melihat tempoh tersebut sebagai durasi yang tepat untuk filem ini. Ia tidak terlalu panjang sehingga penceritaan terasa meleret dan masih mempunyai ruang yang mencukupi untuk memperlihatkan pengembaraan serta pelbagai binatang prasejarah yang menjadi kekuatan utamanya.

Secara keseluruhannya, The End of Oak Street merupakan sebuah filem yang sesuai untuk peminat dinosaur dan binatang prasejarah. Walaupun jalan ceritanya ada ketika agak di luar logik akal dan beberapa watak kurang menyerlah, filem ini tetap mempunyai kekuatan tersendiri menerusi CGI dinosaur, latar tahun 1982 dan konsep pengembaraan yang berpotensi untuk dikembangkan pada masa hadapan.
Bagi saya, ini ialah sebuah filem yang boleh ditonton, khususnya jika anda mahu menikmati tontonan ringan yang sarat dengan dinosaur.
The End of Oak Street boleh ditonton mulai hari ini di pawagam berhampiran anda.
Skor: 7.5/10

