Hari ini merupakan hari yang ditunggu oleh peminat setia Apple di mana Apple bakal mengadakan acara khas pada 30 Oktober 2018 jam 10.00 malam.
Seperti biasa Apple tidak akan memaklumkan apakah produk yang akan dilancarkan kelak. Namun disini saya rangkumkan intipati majlis berdasarkan pemerhatian saya dalam tempoh 10 bulan ini.
iPad Pro
Antara produk yang akan dilancarkan pada Acara Khas ini adalah iPad Pro.
Kali terakhir Apple memperkenalkan iPad Pro adalah pada 14 Jun 2017 semasa World Wide Developer Conference di mana mereka memperkenalkan iPad Pro edisi 10.5 inci dan 12.9 inci (generasi kedua).
Malam ini Apple berkemungkinan akan memperkenalkan model iPad Pro terbaharu mereka yang akan mengalami perubahan besar dari segi rekaan.
iPad Pro dijangka hadir dengan skrin bezel nipis dan akan menyokong Face ID sebagai kunci keselamatan pada model ini.
iPad Pro merupakan produk pertama dalam kelasnya yang akan mengecualikan butang Home pada model terbaharu ini.
Saya menjangkakan iPad Pro bakal dikuasakan dengan cip pemprosesan Apple A12X Bionic, RAM 4GB, Face ID, Skrin OLED serta hadir dengan storan dalaman bermula 256GB dan 512GB.
iPad Pro bakal hadir dengan dua saiz iaitu 10.5inci dan 12.9inci dengan tanda harga bermula RM3,651.00 dan RM4,169.00 bagi versi WI-FI
Apple Pencil 2
Apple juga besar kemungkinan akan memperkenalkan Apple Pencil (Generasi Kedua) yang memfokuskan dari segi ketepatan pada lakaran penulisan serta mempertingkatkan jangka hayat bateri.
Macbook Air
Macbook Air merupakan antara model Macbook yang paling lama tidak menerima perubahan besar pada rekaan. Kali pertama Macbook Air diperkenalkan adalah pada 30 Januari 2008 dan ia sudah 10 tahun berada di pasaran.
Setakat ini belum dapat dipastikan sama ada Apple bakal menggantikan Macbook Air dengan Macbook versi terbaharu atau kekal menggunakan nama sedia ada.
Saya mengjangkakan Macbook Air terbaharu ini akan dikuasakan dengan cip pemprosesan 2.3GHz dual-core Intel Core i5 generasi ketujuh, RAM 8GB serta storan dalaman 128GB, 256GB dan 512GB.
Harga jualan dijangka bermula sekitar RM4,000.00 ke atas dan akan berada di pasaran dalam masa terdekat.
iMac
iMac juga antara antara model yang telah lama tidak dikemaskini oleh Apple. Model ini saya jangkakan tidak akan mengalami perubahan ketara dan pihak Apple hanya menambah baik dari segi spesifikasi semata-mata.
Apple AirPower
Rasanya produk ini tidak perlu saya perincikan lagi memandangkan semua mengetahui bahawa AirPower telah setahun tertangguh jualanya.
Kali pertama Apple memperkenalkan produk ini semasa pelancaran iPhone X pada September 2017. Namun sehingga ke hari ini produk ini tidak dijual di pasaran.
Acara Khas Apple yang dijadualkan berlangsung pada malam ini merupakan acara terakhir Apple untuk tahun 2018. Sekiranya Apple gagal melancarkan produk ini hari ini bermakna anda perlu menunggu sehingga bulan Mac 2019.
Saya berpandangan inilah masa sesuai untuk Apple melancarkan produk ini setelah sekian lama tertangguh.
Apple AirPower merupakan pengecasan tanpa wayar yang anda boleh gunakan untuk mengecas iPhone, Apple Watch dan AirPods secara serentak.
Apple AirPower besar kemungkinan akan dijual di Malaysia pada tanda harga sekitar RM849.00.
AirPods 2
Sesuatu agak janggal sekiranya Apple memperkenalkan AirPods (generasi kedua) pada majlis pelancaran iPad Pro dan Macbook.
AirPods sepatutnya dilancarkan semasa pelancaran iPhone Xs, iPhone Xs Max dan iPhone Xr tempoh hari. Walau bagaimanapun, penangguhan ini berkemungkinan ada hubung kait dengan pelancaran AirPower pada malam ini.
AirPods (generasi kedua) dikatakan akan menyokong pengecasan tanpa wayar, serta hadir dengan jangka hayat bateri yang lebih lama.
Setakat ini belum dipastikan sama ada ia dilancarkan pada malam ini atau sebaliknya.
iPad Mini
iPad Mini hakikatnya telah lama tidak dikemaskini. Kali terakhir ia dilancarkan adalah pada 2015, iPad Mini 4 merupakan model terakhir bagi kelasnya.
Sebelum ini penganalisis Apple Ming-Chin Kuo menjangkakan Apple bakal melancarkan model terbaru bagi iPad Mini. Namun beliau tidak menyatakan bilakah ia akan dilancarkan.
Secara peribadi saya merasakan ia bukanlah masa sesuai untuk Apple melancarkan model ini memandangkan iPad Pro bakal menjadi produk utama Apple untuk bulan Oktober ini.
Walau bagaimanapun, sekiranya Apple benar-benar melancarkan iPad Mini 5, saya berpandangan tiada perubahan ketara pada rekaan dan Apple masih menggunakan Touch ID sebagai kunci keselamatan bagi produk ini.
Acara Khas ini akan diadakan pada malam ini jam 10.00 malam. Saya harap peminat setia Apple sudah bersedia untuk menonton acara yang penuh bermakna ini.
SEKADAR PANDANGAN