in ,

THE FURIOUS : Aksi Tanpa Henti, Adrenalin Memuncak Antara Filem Aksi Antarabangsa Terbaik Tahun Ini

Saya jarang memberikan pujian melampau kepada sesebuah filem, lebih-lebih lagi filem aksi. Namun selepas menyaksikan The Furious, saya boleh mengatakan bahawa ini merupakan antara filem aksi bertaraf antarabangsa paling menghiburkan dan mengujakan yang pernah saya tonton.

Naskhah yang dibawakan secara eksklusif oleh Antenna Entertainment ini berjaya memukau penonton yang memenuhi Dewan 18. Malah, kehadiran Joe Taslim dan Yayan Ruhian ketika tayangan khas menambahkan lagi keterujaan para peminat filem aksi yang sudah lama menantikan sebuah karya yang mampu memberikan pengalaman menonton sebegini.

The Furious mengisahkan seorang bapa bisu lakonan Mo Tse yang kehilangan anak gadisnya selepas diculik oleh sindiket pemerdagangan manusia. Demi menyelamatkan anak kesayangannya, dia sanggup meredah apa sahaja halangan dan berdepan musuh yang bukan sahaja terdiri daripada kumpulan gangster berbahaya, malah individu berpengaruh yang mempunyai kuasa besar di sebalik tabir.

Walaupun premisnya kelihatan ringkas, kekuatan sebenar The Furious bukan terletak pada jalan ceritanya semata-mata, sebaliknya pada cara ia menyampaikan aksi yang begitu intens dan memukau. Setiap babak pertarungan disusun dengan cukup kemas sehingga boleh dianggap sebagai satu karya seni buat peminat genre aksi.

Lagi artikel di ifon.my  Wantugo Bakal Jadi Filem “Squid Game” Malaysia?

Kehadiran Joe Taslim, Yayan Ruhian dan Brian Le pula memberikan nilai tambah yang besar kepada filem ini. Masing-masing hadir dengan gaya pertarungan tersendiri yang menjadikan setiap pertembungan terasa unik dan menghiburkan untuk ditonton.

Apa yang paling mencuri perhatian saya sudah tentu babak klimaksnya. Pertarungan yang berlangsung hampir 15 minit itu seolah-olah tidak pernah berhenti. Setiap kali anda merasakan ia sudah sampai ke penghujung, filem ini terus menaikkan lagi intensiti aksi. Dalam tempoh tersebut, adrenalin penonton benar-benar berada di tahap maksimum.

Dari segi jalan cerita, The Furious ada menyelitkan beberapa elemen putar belit plot. Namun ia tidak terlalu kompleks dan kebanyakan penonton mungkin mampu meneka beberapa pendedahan penting sebelum ia dibongkarkan. Jalan ceritanya juga agak ringkas dan mudah difahami. Walaupun begitu, pengarah Kenji Tanigaki berjaya memastikan naratif bergerak lancar tanpa meninggalkan persoalan besar atau membuatkan penonton berasa kehilangan arah.

Sudah tentu terdapat beberapa babak yang agak sukar diterima logik akal. Namun bagi saya, perkara itu masih boleh dimaafkan kerana filem ini sejak awal lagi jelas mahu memberikan pengalaman aksi yang maksimum kepada penonton. Dan dalam aspek tersebut, ia berjaya dengan cemerlang.

Lagi artikel di ifon.my  Ulasan Filem Elio: Menyuntik Kasih Sayang Dan Hadiah Hari Bapa

Malah, saya berani memberikan satu nasihat mudah sebelum anda melangkah masuk ke pawagam pergi ke tandas terlebih dahulu, kosongkan segala urusan yang tidak perlu dan duduk dengan selesa. Kerana sebaik sahaja The Furiousbermula, anda mungkin tidak mahu terlepas walau satu minit pun daripada apa yang berlaku di atas skrin.

Menariknya, berdasarkan perbualan saya dengan beberapa penonton selepas tayangan, ramai yang memberikan skor 10/10, 9.5/10 dan 9/10. Itu menunjukkan betapa kuatnya impak filem ini kepada penonton.

Jika anda mengikuti ulasan saya sebelum ini, anda pasti tahu bahawa saya agak sukar memberikan markah tinggi walaupun kepada filem yang sangat bagus. Namun untuk The Furious, saya tidak mempunyai banyak alasan untuk menolaknya.

Ia mungkin tidak mempunyai jalan cerita paling mendalam atau plot yang paling kompleks, tetapi dari sudut koreografi aksi, intensiti pertarungan dan pengalaman menonton di pawagam, The Furious benar-benar berada dalam kelasnya yang tersendiri.

Skor: 8.2/10

Written by xaviernaxa

Seorang rakyat Malaysia yang memfokuskan kepada penulisan dalam bahasa Melayu, seorang pengkritik Apple dan pencinta Inovasi

vivo X300 Ultra Youth Creator Awards Buka Pentas Buat Generasi Baharu Pencipta Kandungan

ASUS ExpertBook Ultra: Gabungan AI, Prestasi dan Mobiliti Dalam Satu Pakej Premium