Seperti yang dijangka, Ejen Ali The Movie 2 berjaya mengekalkan momentum hebat dengan jalan cerita yang segar, berani dan penuh kejutan.
Filem ini padat dengan aksi mendebarkan, emosi yang menyentuh hati, nilai kekeluargaan, persahabatan dan kepercayaan.
Kisah kali ini memfokuskan kepada Ejen Ali yang mula mendapat kepercayaan Ejen Dayang, Ketua Teras TEKNO, untuk menggunakan sut canggih SATRIA, sut berteknologi tinggi yang boleh menjana pelbagai senjata dan sistem pertahanan dengan bantuan kecerdasan buatan (AI) terbina di dalamnya.
Namun, disebabkan kegagalan IRIS Neo sebelum ini, Dato’ Othman masih ragu-ragu dengan keupayaan SATRIA, apatah lagi apabila ia digunakan oleh Ali sendiri.

Kali ini, M.A.T.A. berdepan dengan ancaman baharu bernama Neonimus, musuh utama dalam filem ini. Pada awalnya, ancaman tersebut dianggap kecil, tetapi ternyata ia jauh lebih serius daripada yang disangka.
Apakah sebenarnya matlamat Neonimus? Itulah yang perlu anda saksikan sendiri.
Secara peribadi, filem ini menguatkan lagi keyakinan saya terhadap kemajuan industri animasi tempatan.
Setiap watak memainkan peranan penting dari Ejen Dayang, Rizwan, Ejen Rama dan ramai lagi. Penonton juga akan diperkenalkan kepada Cero, ancaman terbesar M.A.T.A. yang menjadi asbab utama serangan mantan Ketua Teras INVISO iaitu Uno, Cinco dan lain-lain terhadap organisasi tersebut.

Menariknya, kita akhirnya mengetahui rahsia di sebalik topi yang sentiasa dipakai Rizwan. Walaupun sekadar filem animasi, babak Rizwan membuka topinya telah membuatkan penonton bersorak dan bertepuk tangan.
Runut bunyi filem ini juga tidak mengecewakan, ia begitu menghiburkan dan terus mengekalkan standard tinggi seperti dalam filem pertama.


Walaupun diselitkan elemen komedi, beberapa babak menyentuh hati menjadikan filem ini lebih menarik dan berkualiti. Kekurangan hampir tiada kerana ditutup dengan penceritaan yang kemas dan istimewa.

Filem ini bukan untuk kanak-kanak semata-mata, tetapi sesuai untuk semua lapisan umur, bangsa dan agama. Ia adalah filem buatan Malaysia yang bertaraf antarabangsa.
Secara jujur, saya tidak keberatan jika mengatakan Ejen Ali The Movie 2 ialah naskhah animasi terbaik setakat ini, malah mengatasi sebahagian filem animasi antarabangsa dari segi penceritaan dan jiwa.
Bagi peminat siri Ejen Ali, disarankan menonton filem Ejen Ali The Movie dan Musim Ketiga terlebih dahulu untuk lebih memahami perjalanan ceritanya.
Jangan keluar awal, kerana terdapat dua babak pascakredit yang penting.
Saya benar-benar kagum dengan hasil karya anak tempatan ini. Usamah Zaid Yasin sebagai pengarah membuktikan beliau memiliki visi dan karisma dalam menghasilkan filem animasi bertaraf tinggi.
Syabas diucapkan!
Skor: 8.5/10 (85%)