KUALA LUMPUR, 13 Ogos 2026 – Tiga dekad bukanlah tempoh yang singkat. Sepanjang 30 tahun berada dalam landskap media dan hiburan Malaysia, Astro terus menjadi sebahagian daripada kehidupan masyarakat menerusi pelbagai kandungan, program hiburan, pendidikan, sukan serta kisah tempatan.

Bersempena ulang tahun ke-30, Astro kini melancarkan sambutan khas Astro 30: Thank You Malaysia sebagai tanda penghargaan kepada jutaan rakyat Malaysia yang terus memberikan kepercayaan dan sokongan kepada platform berkenaan.
Sambutan yang berlangsung dari Ogos hingga Disember 2026 itu hadir dengan pelbagai tawaran istimewa, kandungan eksklusif dan pengalaman untuk pelanggan.

Antaranya termasuk akses kepada semua saluran Astro secara percuma untuk tempoh terhad, dua saluran khas, kandungan tambahan buat pelanggan NJOI, akses Astro X3 pada TV pintar serta pelbagai ganjaran dan pengalaman secara langsung.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Astro, Henry Tan, sambutan berkenaan merupakan cara Astro merakamkan penghargaan kepada masyarakat Malaysia yang telah menjadikan Astro sebahagian daripada kehidupan mereka sepanjang tiga dekad lalu.

Katanya, sokongan masyarakat bukan sahaja membolehkan Astro terus berkembang, malah memberi ruang kepada syarikat berkenaan untuk meneroka bakat baharu serta mengetengahkan kisah yang mencerminkan keunikan dan kepelbagaian Malaysia.
Bermula 15 Ogos hingga 16 September 2026, semua pelanggan Astro bakal menikmati akses kepada semua saluran Astro.
Dalam tempoh sama, pelanggan turut diberikan akses kepada dua saluran tambahan khas, iaitu Astro 30 (Saluran 100) dan Aniplus (Saluran 120).
Astro 30 yang tersedia sehingga 31 Oktober 2026 bakal menghimpunkan pelbagai kandungan pilihan termasuk lapan filem Spider-Man, Borneo Rising, The Last Kopek Senario Reunion 30 Tahun, BTS: Love Yourself in New York Concert Film, How to Make Millions Before Grandma Dies dan Tekad: Ekspedisi Guthrie Everest 2026.

Saluran itu turut menampilkan edisi terbaharu Tom Tom Bak serta lima telefilem khas.
Bagi peminat anime pula, Aniplus akan tersedia sehingga 31 Disember 2026, dengan pilihan siri anime terbaharu dan popular dari Jepun, termasuk Trapped in a Dating Sim 2: The World of Otome Games is Tough for Mobs dan Hanaori-san Still Wants to Fight in the Next Life.
Tidak terhenti pada saluran televisyen, pelanggan Astro turut diberikan akses kepada Astro X3 yang baharu dilancarkan pada peranti TV pintar.
Menerusi perkhidmatan ini, pelanggan boleh menstrim kandungan terus melalui aplikasi Astro tanpa memerlukan dekoder, sekali gus memperlihatkan usaha Astro untuk menyesuaikan pengalaman menonton dengan perubahan tabiat pengguna hari ini.
Pelanggan NJOI pula bakal menikmati tambahan saluran secara percuma mulai 13 Ogos 2026, membabitkan Astro Prima, Astro Oasis, Astro AEC dan Stadium Astro.
Dengan tambahan tersebut, jumlah saluran percuma yang boleh ditonton pelanggan NJOI meningkat kepada 26 saluran.
Sambutan 30 tahun Astro turut diperluaskan menerusi Astro Audio melalui KITA FM 2026: Satu Nama, Satu Suara.
Inisiatif berkenaan menghimpunkan kesemua 13 jenama Astro Audio di bawah satu inisiatif yang akan membawa siaran langsung dari luar konti, selain jelajah bas, sesi beramah mesra dan pengalaman interaktif.
KITA FM akan bermula sempena sambutan Hari Merdeka di Dataran Putrajaya sebelum berakhir di Kuching, Sarawak pada 16 September 2026.
Menariknya, sempena Hari Malaysia, KITA FM turut akan melancarkan Larian 63 Kilometer, yang menghimpunkan kesemua penyampai radio bagi usaha mengejar rekod Malaysia Book of Records, selain memperkenalkan lagu tema berbilang bahasa berjudul KITA.
Buat peminat muzik dan acara hiburan, MY FM Big Show akan kembali pada 17 Oktober 2026 di Arena of Stars, Resorts World Genting.
Selain persembahan penyampai MY FM dan barisan bintang tempatan serta antarabangsa, pelanggan Astro turut berpeluang menikmati pelbagai tawaran termasuk diskaun dan tiket percuma ke beberapa acara seperti ALPHA First Wave, MY FM Big Show, Gegar Vaganza dan Konsert KITA Countdown.
Pelanggan terpilih juga bakal menerima akses lorong pantas untuk sesi ramah mesra di acara Home of Kids serta akses ke acara sukan utama seperti Sepak Takraw League dan Sultan Azlan Shah Cup.
Kemuncak sambutan turut diteruskan menerusi Astro 30th Anniversary Showcase yang akan berlangsung pada 23 Ogos 2026 di Pintu Masuk Utama Pavilion Kuala Lumpur.
Acara ini menampilkan barisan nama popular dan bakat baharu termasuk Faizal Tahir, Sherry Al Hadad, Stacy Anam, ALPHA, Vanessa Reynauld, Auddra dan Zeppo Youngsterz.
Peminat juga berpeluang bertemu bintang daripada Talk To My Manager 2, termasuk Cik B, Azeva dan Amarra, selain pemenang Big Stage Rocketfuel dan Big Stage Tamil.

Tidak ketinggalan, barisan pelakon daripada beberapa siri drama dan filem turut dijadualkan hadir, termasuk Wolong: The Mastermind, Visham, Mounam Pesiyadhe, Kudrat 1968 dan Terbang yang diinspirasikan daripada kisah benar pelumba rali legenda, Karamjit Singh.
Pelanggan Astro terpilih pula berpeluang menyaksikan acara tersebut dari Zon VIP Rock eksklusif.

Tiga puluh tahun perjalanan Astro akhirnya kembali kepada satu perkara yang paling penting masyarakat Malaysia.
Dengan pelbagai tawaran, kandungan dan pengalaman yang disediakan sepanjang sambutan ini, Astro bukan sekadar meraikan ulang tahun ke-30, sebaliknya menggunakan kesempatan tersebut untuk mengucapkan terima kasih kepada mereka yang telah bersama-sama menjadikan Astro sebahagian daripada landskap media dan hiburan negara.
Astro turut menegaskan komitmennya untuk terus membawakan kandungan dan pengalaman kepada penonton pada masa akan datang.
