in ,

Insurans Pelindungan : Kehendak atau Keperluan?

Seperti diketahui terdapat beberapa Wakil Penjual sah Apple (AAR) menawarkan perkhidmatan Insurans Pelindungan pada peranti Apple termasuklah iPhone, Apple Watch, MacBook dan lain-lain. Apple Malaysia juga turut menawarkan Pelan Pelindungan AppleCare bagi beberapa peranti termasuklah MacBook, iPad, iPod dan Apple TV.

Walakin begitu, terma dan syarat bagi Pelan Pelindungan AppleCare berbeza dengan Pelan Pelindungan yang ditawarkan oleh AAR. Sebagai contoh, jika iPad tersebut rosak disebabkan kecuaian manusia seperti pecah atau kerosakan disebabkan oleh cecair. Pelindungan AppleCare berhak menolak tuntutan warranti tersebut disebabkan kecuaian manusia. Rujuk AppleCare

Bagi Insurans Pelindungan yang ditawarkan oleh beberapa AAR. Pihak mereka menerima kes sedemikian dan akan menggantikan peranti baharu dengan bayaran tertentu. Dalam erti kata mudah, Insurans Pelindungan yang disediakan oleh AAR menawarkan pelindungan yang tidak ditawarkan oleh AppleCare.

Antara contoh Insurans Pelindungan yang ditawarkan oleh AAR termasuklah Machines Protection Plan daripada Machine Malaysia dan Smart Protection Plan daripada Switch Malaysia. Setiap pelindungan yang ditawarkan mempunyai terma dan syarat yang harus dipatuhi. Sila baca atau bertanya kepada kakitangan AAR sebelum membelinya.

Selain Apple dan AAR, pihak ketiga seperti Insta Protection daripada Etiqa juga turut ditawarkan. Adakah perlu membeli Insurans Pelindungan?Satu undian telah dibuat di Twitter saya semalam dan sebanyak 4,539 responden telah mengambil bahagian.

Lagi artikel di ifon.my  iPhone- Beli Secara Tunai Atau Pakej Dari Syarikat Telekomunikasi?

Dapatan yang diperoleh menunjukkan 64% menganggap Insurans Pelindungan hanyalah kehendak dan selebihnya adalah keperluan.

Menurut salah seorang pengguna Twitter yang menggunakan ID AlexSiMonyet. Dia berpandangan Insurans Pelindungan sangat penting. Berikut kenyataan yang dikeluarkan olehnya.

“Ayah aku pakai 6splus. Ambik insuran celcom. Lebih 2-3 tahun lepastu fon rosak. Pastu nak claim stock 6splus dah tak dipasarkan, so celcom ganti dengan xs max terus. So i think it worth”

Menurut Izzat Mustafa pula, dia berpandangan Insurans Pelindungan tidak penting. “saya tidak ambil insurans utk telefon kerana ianya tidak penting. ini adalah pendapat saya.”

Secara peribadi, kita perlu melihat dalam pelbagai aspek sebelum membuat keputusan tuntas. Apple merupakan jenama premium dan sudah semestinya kos alat ganti sangat mahal hingga mencecah ribuan ringgit. iPhone 11 Pro sebagai contoh, kos penukaran skrin mencecah RM1,399 dan sekiranya iPhone tersebut tidak boleh dibaiki, pengguna terpaksa membayar RM3,199 bagi set gantian.

Jika anda seorang yang cuai dan sering melakukan kerja atau aktiviti lasak. Maka saya menggalakkan untuk anda mempertimbangkan mengambil Insuran Pelindungan tersebut.Saya juga mula menitikberatkan soal Insuran Pelindungan pada Apple Watch memandangkan tahap risiko yang lebih tinggi.

Lagi artikel di ifon.my  Jony Ive Kembali Menghidupkan Era Keagungan Apple.

Apakah hukum membeli warranti?

Menurut Pejabat Mufti Wilayah, adalah dibenarkan menjual barang bersama dengan waranti servis baik pulih dalam tempoh tertentu atau disebut warranti standard. Ini termasuk dalam bab al-Wa`d atau bab mensyaratkan manfaat bagi pembeli. Kedua-duanya adalah harus.

Namun jika seseorang itu membeli kad jaminan atau extended warranty yang berasingan daripada barang seperti seseorang membeli barang tanpa waranti lalu membeli waranti, atau membeli satu barang yang sudah tamat warantinya kemudian membeli waranti baru, Ini adalah tidak harus kerana mengandungi ketidakpastian atau gharar dan perjudian. Rujuk Pejabat Mufti Wilayah.

Konklusinya, Insuran Pelindungan ini mempunyai kebaikan dan keburukan, maka terpulang kepada individu tersebut untuk membuat penilaian secara holistik sebelum keputusan dibuat. Saya mula menitikberatkan soal Insuran Pelindungan pada beberapa peranti seperti Apple Watch dan MacBook. Kerana bagi saya kedua-dua peranti ini berisiko tinggi untuk rosak dan kos baik pulih boleh mencecah ribuan ringgit.

SEKADAR PANDANGAN

Written by xaviernaxa

Seorang rakyat Malaysia yang memfokuskan kepada penulisan dalam bahasa Melayu, seorang pengkritik Apple dan pencinta Inovasi

Promosi iPad Air 4

iPhone 13 Hadir Dengan AOD?